mutakhir

Minta hutang dihentam besi

Johor Bahru: Akibat berang ditanya mengenai hutangnya, seorang warga emas rakyat Singapura bertindak agresif apabila menyerang rakannya dengan besi buruk sehingga mangsa menerima 10 jahitan akibat cedera pada kening kirinya.

Akibat perbuatan itu, lelaki berusia 61 tahun terbabit ditahan polis ketika pergaduhan berlaku di Kompleks Kastam Sultan Abu Bakar Tanjung Kupang, Gelang Patah di sini, jam 10 malam, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung pergaduhan antara dua lelaki di tempat kejadian sebelum polis bergegas ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati suspek bergaduh dengan mangsa dipercayai selepas mangsa bertanya mengenai hutang suspek terhadapnya.

“Suspek ditahan di tempat kejadian itu bersama sebatang besi buruk dipercayai digunakan dalam pergaduhan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, suspek dan mangsa adalah pemandu lori kontena di Singapura dan berjumpa di lokasi kejadian sebelum berlaku pergaduhan.

Katanya, mangsa warga tempatan berusia 41 tahun itu cedera di kening sebelah kiri kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

Noor Hashim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menggunakan senjata bahaya yang mendatangkan kecederaan.

“Suspek direman sehingga esok (hari ini),” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2015 @ 8:05am
d