mutakhir

823 dah kembali bekerja

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seramai 11,457 atau 73 peratus dari 15,694 pekerja yang mengikuti Program ‘Return To Work PERKESO’ berjaya dipulihkan dan ada antara mereka kini sudah kembali bekerja seperti biasa.

Jumlah itu adalah bilangan pekerja yang mengikuti program berkenaan pada 2007 sehingga Jun lalu, malah lebih ramai dijangka dipulihkan dengan beroperasinya Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Ayer Keroh, di sini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, sejak beroperasi Oktober tahun lalu 823 pekerja dipulihkan sudah kembali bekerja manakala 138 lagi mencari pekerjaan, 555 masih menjalani pemulihan manakala 302 menjalani rawatan perubatan.

“Pusat rehabilitasi itu dibina bagi amalan konsep pemulihan yang mengintegrasikan pemulihan fizikal dan vokasional sehingga pekerja yang mengikuti program terbabit kembali ke alam pekerjaan atau kepada masyarakat.

“Sebagai menteri bertanggungjawab, saya bangga dengan pengurusan Perkeso yang berjaya mengamalkan keselamatan sosial secara menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan pekerja, bukan hanya menyediakan pampasan, malah memberi peluang untuk pekerja yang terbabit kemalangan pulih serta diintegrasi semula ke dalam masyarakat,” katanya.

Terdahulu beliau, melawat Pusat Rehabilitasi dan menghadiri Jamuan Aidilfitri Perkeso di Pusat Rehabilitasi Perkeso, di Ayer Keroh, semalam. Hadir sama, timbalannya Datuk Seri Ismail Abd Mutallib dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk MS Mahadevan.

Antara kemudahan di Pusat Rehabilitasi Perkeso itu adalah hospital, bilik rawatan, wad, fisioterapi, gimnasium dan kolam renang menggunakan teknologi canggih dan yang pertama di Asia Tenggara.

Malah, pusat yang belum dirasmikan itu memenangi Anugerah Keseluruhan di ‘Academy Award for Salutogenic Design 2015’, pada Kongres Rekabentuk dan Kesihatan Dunia 2015, di Hong Kong.

Disiarkan pada: July 31, 2015 @ 8:31am
d