mutakhir

Gantung sampai mati

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Ipoh: Seorang bekas pengawal keselamatan tidak menunjukkan sebarang reaksi selepas Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya selepas didapati bersalah membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Syahmie Hassan, 24, selepas didapati bersalah membunuh Dr Rohani Kasim yang berusia 38 tahun ketika kejadian di Tingkat 1, Blok F, Unit 9, Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Tambun, dekat sini, antara jam 6 petang hingga 7.30 malam, 3 Ogos 2011.

Che Mohd Ruzima berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira wujud persediaan awal tertuduh sebelum melakukan perbuatan itu.

Menurutnya, keterangan saksi dan pembuktian sepanjang perbicaraan menunjukkan tertuduh yang tinggal di pangsapuri sama memecah masuk rumah mangsa untuk mencuri, namun tidak gembira dengan hasil diperoleh lalu menunggu dalam rumah itu dengan menyediakan pita perekat dan wayar yang ditemui dalam bilik tidur sebelum ia digunakan untuk mengikat mayat mangsa.

Katanya, sebaik mangsa pulang ke rumah, berlaku pergelutan antara mangsa dengan lelaki itu dan mangsa menggigit tangan tertuduh hingga berdarah sebelum lelaki itu menolak mangsa hingga kepalanya terhantuk ke bucu meja lalu pengsan.

Beliau berkata, tertuduh menjerut leher mangsa menggunakan langsir yang ditemui dalam rumah itu hingga mati sebelum memperkosa jenazah mangsa.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong memanggil 20 saksi manakala pembelaan yang diwakili Rafael Abdullah menampilkan dua saksi.

Dalam pembelaannya, tertuduh didakwa mengalami kemurungan dan berdepan masalah lembap dalam kalangan adik-beradiknya. Tertuduh juga dikatakan pernah menerima rawatan di Hospital Slim River berikutan masalah itu, namun gagal dibuktikan kepada mahkamah.

Disiarkan pada: August 1, 2015 @ 5:14am
d