mutakhir

Keluarga kangkung

Oleh Aizat Sharif

Arau: “Saya tahu susah untuk orang lain memberi bantuan, tetapi bantulah anak saya kerana mereka lebih memerlukan terutama bagi menampung perbelanjaan persekolahan dan perubatan mereka.”

Itu luahan seorang suri rumah, Nor Anita Salim, 41, apabila terpaksa menumpang berteduh bersama tiga anak di sebuah rumah usang di Kampung Kebun di sini, sejak awal tahun ini.

Rumah papan separuh siap milik seorang penduduk yang bersimpati itu dibina di tanah sekangkang kera kini menjadi kediaman Anita bersama anaknya, Umi Kalsom, 11, Muhammad Firdaus, 10, dan Nur Balqish Adila Hassaan, 5, manakala suaminya bekerja di Pulau Pinang.

Kedaifan keluarga itu memaksa Nor Anita melakukan apa saja pekerjaan di kampung demi mencari sesuap nasi bagi menampung kehidupan harian mereka berikutan pendapatan suaminya, Hassan Abdullah, 60, tidak seberapa dengan bekerja sebagai tekong bot nelayan.

“Saya akan lakukan apa saja kerja demi menyara kehidupan anak-anak kerana itu keutamaan saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya.

Tinjauan mendapati rumah didiami Nor Anita tidak mempunyai tandas atau bilik air yang sempurna selain tiada dinding.

Lebih menyedihkan apabila empat beranak itu terpaksa menggunakan ruang sebesar sebuah stor untuk melakukan aktiviti harian seperti makan, tidur, mentelaah pelajaran selain di sekeliling kawasan rumah turut dipenuhi sampah sarap berbau busuk dan menjijikkan.

Nor Anita yang dilahirkan di Satun, Thailand tetapi dibesarkan di Perlis sejak kecil berkata, rumah didiaminya itu milik anak bekas suami pertamanya sebelum dia berkahwin dengan suami baru.

Menurutnya, sebelum ini dia bersama Hassan tinggal menyewa di sebuah rumah di Kuala Perlis selama 11 tahun, namun suami barunya berhijrah ke Pulau Pinang mencari pekerjaan baru dan tidak membawa mereka disebabkan keadaan ekonomi mereka masih belum kukuh.

“Akibat tidak mampu membayar sewa rumah, saya dan anak-anak terpaksa keluar dari rumah itu sebelum menumpang di rumah anak bekas suami sejak Januari lalu.

“Anak bekas suami kasihan dan membawa kami tinggal di rumah ini sejak awal tahun ini dan untuk menampung kehidupan kami sekeluarga, saya akan mengambil apa saja upah kerja demi sesuap nasi.

“Ini kerana nafkah diberi suami antara RM100 hingga RM200 sebulan tidak cukup untuk menampung kehidupan kami seharian,” katanya.

Malah, katanya, jika tidak berkemampuan membeli makanan, dia akan memancing ikan di kawasan bendang sekitar kampung selain mengutip sayur kangkung di kawasan parit berhampiran untuk dijadikan hidangan.

“Saya pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kebajikan lain tetapi tiada perkembangan. Hidup kami sekeluarga ibarat ‘kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang’. Apa yang ada itulah yang kami terima,” katanya.

Katanya, lebih memilukan Nur Balqish mengalami masalah kesihatan iaitu sawan jika demam.

“Dia (Nur Balqish) akan sesak nafas apabila mengalami sawan terutama jika demam dan saya tak membawanya berjumpa doktor kerana tak mampu membiayai kos perubatannya,” katanya.

Simpati dengan kemiskinan menimpa keluarga Nor Anita, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Kebajikan Insan Sejagat SeMalaysia (KISS) tampil menghulurkan bantuan keperluan harian seperti beras, susu, bahan minuman dan barangan keperluan sekolah seperti beg sekolah untuk anak-anaknya.

Disiarkan pada: August 1, 2015 @ 5:15am
d