mutakhir

8 sertai perhimpunan haram didakwa

Lapan sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap pertuduhan melakukan perhimpunan menyalahi undang-undang dan menggunakan senjata, Ahad lalu.

Bagaimanapun, semua tertuduh S Magendran, 23; S Sharueisan, 18; V Previnthiran, 20; K Arvindran, 18; V Kogulan, 19; M Pirem, 19; G Kesavan, 20; dan B Navindaran, 20, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak, mereka dituduh bersama melakukan perhimpunan menyalahi undang-undang dan pada masa sama menggunakan senjata yang boleh membawa maut.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan restoran makanan segera A&W, Bandar Seremban di sini, jam 5 pagi, Ahad lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh terbabit diikat jamin RM2,600 dengan seorang penjamin selepas mendengar rayuan dikemukakan peguamnya.

Mahkamah turut menetapkan 17 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Disiarkan pada: August 1, 2015 @ 5:21am
d