mutakhir

Remaja maut bergesel sesama motosikal

Seorang remaja maut sejurus motosikal ditunggang bergesel dengan sebuah motosikal lain yang datang dari arah sama di Jalan Salor Baru-Pasir Mas di sini.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi semalam, mangsa, Muhammad Baihaqi Mohd Khaizal Gadafie, 17, meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Pasir Mas di sini.

Manakala seorang lagi mangsa, Mohammad Lokman Awang, 16, yang menunggang motosikal model Suzuki Nex cedera parah dan sedang dirawat hospital sama.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, nahas berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menunggang motosikal dari arah sama menuju ke Kota Bharu.

Katanya, motosikal mangsa bergesel sesama sendiri sebelum mereka terjatuh di atas jalan raya.

“Kedua-dua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Pasir Mas, di sini, untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, Muhammad Baihaqi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan manakala seorang lagi mangsa mengalami cedera parah di tangan kanan dan luka di kepala,” katanya, semalam.

Disiarkan pada: August 2, 2015 @ 5:17am
d