mutakhir

Kerani bank tercampak bertembung kereta

Seorang kerani bank maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Rembia, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa, Adnan Jaalam, 50, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Rembia Perkasa, di sini, selepas selesai bekerja di sebuah bank di Cheng sebelum terbabit dalam kemalangan.

Menurut sumber, ketika mangsa tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Perodua Kancil dari Alor Gajah ke Melaka hilang kawalan dan terbabas memasuki arah bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal Yamaha Sport ditunggang Adnan.

Akibat perlanggaran itu, Adnan tercampak ke bahu jalan manakala motosikalnya melambung dan jatuh ke longkang di tebing jalan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, pemandu kereta Perodua Kancil iaitu lelaki berusia 25 tahun hanya mengalami cedera ringan pada dada manakala penumpang kereta itu, wanita berusia 20 tahun luka pada tangan dan kaki,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2015 @ 5:17am
d