mutakhir

Fokus bangun negara

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Pekan: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersyukur kerana ahli parti dan rakyat menerima baik rombakan Kabinet yang diumumkannya pada 28 Julai lalu.

Beliau berkata, parti dan kerajaan kini boleh memberi tumpuan penuh kepada usaha membangunkan Malaysia bagi mencapai matlamat negara maju dalam tempoh lima tahun.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin), (Datuk Seri Mohd) Shafie (Apdal), (Datuk Seri) Hassan (Malek) dan semua yang tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan.

“Tetapi, masing-masing melahirkan komitmen dan luahkan pendirian bahawa mereka tetap setia kepada UMNO. Dengan selesainya proses itu (rombakan Kabinet), maka kita boleh bergerak ke hadapan.

“Saya tidak mahu kita hilang arah dan tidak fokus. Kita mesti kembali kepada mengapa, kenapa dan apa objektif, matlamat yang diperjuangkan sebagai anggota kerajaan dan parti,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini, semalam.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berangkat ke majlis itu.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mengingatkan pemimpin parti supaya prihatin terhadap keperluan rakyat dalam menjadikan negara lebih makmur dan membangun.

Katanya, ini termasuk meneruskan perjuangan termasuk dalam menyediakan rumah mampu milik, peluang pekerjaan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Jika rakyat mengambil berat mengenai kos sara hidup yang dialami mereka, maka buatlah apa yang termampu untuk mengurangkan kos hidup rakyat.

“Jika mereka mahu kadar jenayah yang kurang dan keadaan lebih selamat...maka lakukan tindakan ke arah menjamin kehidupan yang lebih baik dan menjamin keselamatan serta keamanan,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mahu rakyat mengekalkan semangat ukhwah dan perpaduan yang dipupuk sepanjang Ramadan ke bulan berikutnya.

“Inilah yang diharapkan (sempena) Syawal, supaya kita berfikir jauh (terhadap) masa depan dan anak-anak kita,” katanya.

Pada majlis itu, lebih 50,000 pengunjung yang hadir menikmati pelbagai hidangan tradisional termasuk 3,000 batang lemang dan 5,000 ketupat yang disediakan secara bergotong-royong oleh penduduk setempat, kelmarin.

Disiarkan pada: August 3, 2015 @ 5:14am
d