mutakhir

Pemilik sangkar ikan ditemui lemas

Jerantut: Pemilik sangkar ikan yang hilang selepas dihanyutkan arus sungai ketika berenang di Sungai Pahang berhampiran Kampung Pedah, dekat sini, Jumaat lalu, ditemui lemas, kelmarin.

Mayat mangsa, Mohamad Amirul Mohd Aspar, 25, dari Perumahan Awam Kos Rendah Jerantut Feri, dekat sini, ditemui pada jam 4.50 petang oleh sepasukan anggota skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Azid Ismail berkata, mayat mangsa ditemui terapung kira-kira lima kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

“Mayat lelaki itu yang dalam keadaan sempurna kemudian dibawa ke Hospital Jerantut (HJ) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk pengebumian,” katanya.

Beliau berkata, polis mengesahkan kejadian itu tidak membabitkan sebarang unsur jenayah dan mengklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Pada kejadian Jumaat lalu, mangsa dilaporkan hilang ketika berenang dari tebing sungai ke satu daratan di tengah Sungai Pahang, terletak kira-kira 100 meter dikenali sebagai Pulau Dedari.

Ketika kejadian, anak sulung daripada lima beradik itu berenang untuk menyertai adik dan rakannya yang berada di pulau berkenaan sebelum mangsa dipercayai lemas akibat dihanyutkan arus sungai yang deras.

Sebelum itu, mereka dikatakan melepaskan benih ikan di sangkar ikan milik Mohamad Amirul di lokasi berhampiran.

Disiarkan pada: August 3, 2015 @ 5:14am
d