mutakhir

Pekerja pembersih mengaku bakar kerusi

Saint Andre: Seorang lelaki tidak menyangka objek yang dibakarnya, lima bulan lalu kemungkinan kerusi pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang lebih setahun lalu.

Pekerja pembersih sampah Nicolas Ferrier berkata, rutinnya sebagai pembersih pantai mengambil serpihan atau mengutip sampah-sarap dalam apa jua bentuk.

“Ketika sedang menjalankan tugas mengutip sampah di tepi pantai pada Mei lalu, dia ada terjumpa kerusi biru yang dianggap sekadar sampah biasa yang berkemungkinan tempat duduk bas atau kerusi buaian.

“Bagaimanapun, Rabu lalu ia menyedarkan saya apa yang mungkin terjadi, kerusi berkenaan mungkin sebahagian daripada komponen kapal terbang ,” katanya kepada The Telegraph.

Nicolas berkata, dia menemui kerusi itu pada awal Mei lalu dan kelmarin, dia memberitahu kisahnya buat kali pertama kepada umum, sebelum ini penemuan itu hanya diketahui isterinya.

“Serpihan itu terdampar di sepanjang pantai berbatu berhampiran Saint Andre, di sebelah timur Lautan Hindi.

“Sebelum ini, saya tidak tahu apakah kepentingan objek itu. Sisa sampah terdampar adalah sebahagian daripada rutin harian sebagai pembersih pantai apabila tiada siapa yang berani memasuki kawasan pantai yang berarus deras dan dipenuhi ikan jerung,” katanya.

Menurutnya, dia juga menemui beberapa beg pakaian juga pada ketika itu dipenuhi dengan banyak objek.

“Saya terus membakarnya di kawasan berbatu tidak jauh dari situ. Itu tugas saya iaitu mengumpul sampah dan membakarnya.

“Malah, saya juga menemui banyak benda milik kapal terbang dan membakarnya tanpa menyedari kesannya,” katanya.

Nicolas yang menemui serpihan sayap yang terdampar pada Rabu lalu turut tidak mengetahui apa fungsi objek itu.

“Seperti kerusi itu, saya tidak tahu apakah ia. Saya duduk di atasnya dan gunakan sebagai meja.

“Saya benar-benar tidak memberi banyak perhatian kepada objek itu sehingga saya melihat mengenainya dalam berita,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2015 @ 5:20am
d