mutakhir

Degil sangat!

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Kedegilan tiga pengusaha premis mesin judi di Jalan Changkat, Bukit Bintang, di sini, meneruskan operasi walaupun diserbu polis minggu lalu berakhir apabila bekalan elektrik dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.

Dalam operasi disertai polis bersama TNB itu, pihak berkuasa memutuskan bekalan elektrik di tiga premis judi terbabit dan menahan seorang pekerja lelaki berumur lingkungan 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Abu Samah berkata, polis pernah menyerbu premis judi yang beroperasi selama 24 jam di kawasan berkenaan.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 65 mesin slot di setiap premis rumah judi. Bagaimanapun, risikan mendapati tauke premis perjudian itu masih berdegil dan menjalankan beroperasi seperti biasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, operasi pemotongan bekalan elektrik itu bermula 2 petang itu dan berakhir sejam kemudian.

“Kedegilan pengusaha premis itu menyebabkan polis bersama TNB menjalankan pemotongan bekalan elektrik supaya mereka tidak dapat beroperasi semula,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka pindaan 2001.

Disiarkan pada: August 4, 2015 @ 6:41am
d