mutakhir

Habuan RM4,000, denda RM20,000

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang konstabel polis dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini, semalam selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM4,000 pada tahun lalu.

Mohd Azrol Azreen Abu Hasan, 27, yang bertugas di Batalion 2, Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, Kedah mengaku bersalah menerima secara rasuah suapan wang tunai RM4,000 daripada Lam Naing Hung, jam 2.40 petang di Jalan Persiaran Meru Raya 5, Meru Raya di sini, pada 31 Ogos 2014.

Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap tiga warga Myanmar yang tidak mempunyai kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Disiarkan pada: August 4, 2015 @ 8:35am
d