mutakhir

Pengasuh perlu mahir beri bantuan

Putrajaya: Pengasuh yang panik ketika berdepan dengan situasi cemas menjadi antara faktor kanak-kanak dan bayi di pusat asuhan berdepan masalah pernafasan atau tersedak susu sehingga nyawa mereka tidak dapat diselamatkan.

Atas faktor itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pengasuh perlu memiliki kemahiran memberikan bantuan kecemasan kepada kanak-kanak, sekali gus usaha mengurangkan kadar kematian di pusat asuhan.

Menurutnya, ilmu dan kemahiran yang dipelajari itu dapat membantu pengasuh menyelamatkan nyawa bayi terlebih dahulu sebelum dibawa ke hospital untuk bantuan seterusnya.

“Pengasuh terbabit seharusnya menjadi orang pertama memberikan bantuan kecemasan kepada bayi dengan cara betul dan mereka tidak sepatutnya membiarkannya tanpa berbuat sebarang tindakan sehingga mangsa kaku,” katanya selepas merasmikan bengkel kesedaran memberi bimbingan awam kepada penyedia penyedia penjagaan kanak-kanak, semalam.

Katanya, selain pengasuh, ibu bapa juga digalakkan mempunyai pengetahuan memberikan bantuan kecemasan anak mereka jika berdepan dengan situasi itu.

Terdahulu, Rohani dalam ucapannya berkata, statistik kadar kematian kanak-kanak akibat tersedak susu dan mengejut semakin meningkat.

Disiarkan pada: August 4, 2015 @ 9:02am
d