mutakhir

Sehari lagi tunggu keputusan

Saint Andre: Selepas 16 bulan tanpa berita, keluarga penumpang dan kru MH370 kini perlu menunggu sekurang-kurangnya sehari lagi untuk mendapatkan pengesahan sama ada pesawat malang berkenaan benar-benar terhempas ke laut seperti yang dilaporkan.

Meskipun beberapa pihak yakin bahawa serpihan itu adalah daripada sayap B777 terbabit namun sehingga kini tiada pengesahan rasmi dikeluarkan.

Ini kerana ketika ini, serpihan yang ditemui di Pulau Reunion 29 Julai lalu masih belum diperiksa meskipun sudah tiba di makmal Kementerian Pertahanan Perancis, di Toulouse, Sabtu lalu.

Ahli keluarga penumpang serta anak kapal kini menunggu berita pengesahan itu dengan penuh kesabaran dan mereka berharap akan mendapat jawapan dalam masa satu atau dua hari.

Menteri Pengangkutan Australia Warren Truss berkata, apa yang penting dalam misi pencarian berkenaan adalah untuk memberi jawapan kepada keluarga mangsa.

“Namun, memandangkan beberapa petunjuk palsu dalam pencarian sebelum ini, ramai yang lebih suka kepastian daripada kelajuan berita itu disebarkan,” katanya. - AP

Disiarkan pada: August 4, 2015 @ 9:06am
d