mutakhir

TVET rapat jurang ekonomi

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Negara rantau ini boleh mengambil Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) sebagai senjata utama untuk merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Malaysia hari ini menonjolkan pelbagai contoh, bagaimana pembangunan kemahiran boleh mengubah nasib dalam sesebuah keluarga.

“Kita boleh lihat seorang anak yang menceburi bidang minyak dan gas dalam tempoh dua hingga tiga tahun sudah layak memperoleh gaji mencecah tiga hingga empat ribu hanya dengan sijil atau diploma.

“Tanpa kemahiran teknikal, mereka tidak mungkin mendapat gaji sedemikian,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Asia Pasifik Mengenai Pendidikan dan Latihan (ACET) 2015 di Hotel Berjaya Times Square di sini, semalam.

Idris berkata, TVET menjanjikan potensi besar kepada agenda pendidikan negara, terutama dalam menghasilkan pekerja mahir setaraf perkembangan teknologi.

“Atas sebab itu TVET diberi penekanan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang kita lancarkan tiga bulan lalu.

“Kita boleh lihat perkembangan TVET mencapai 7.8 peratus dan ini jauh lebih besar daripada perkembangan bidang akademik yang hanya tiga peratus saja,” katanya.

Menyentuh isu pengangguran belia yang berlaku akibat kemahiran tidak sepadan peluang kerja, Idris berkata, fenomena itu memang berlaku di seluruh dunia.

“Ini adalah kesan daripada kemahiran tidak setimpal dengan perkembangan teknologi semasa. Dalam sektor pekerjaan, perkara ini mengganggu proses penawaran dan permintaan pekerja.

“Bagaimanapun, kita harap isu ini dapat diatasi dengan pemerkasaan TVET di masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, pengukuhan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam TVET juga perlu dilaksanakan segera terutama dalam bidang pembelajaran sepanjang hayat.

Disiarkan pada: August 5, 2015 @ 9:03am
d