mutakhir

Dua lelaki angkat cermin pecah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur

Beberapa individu dikesan memperoleh puluhan ribu ringgit sebulan hasil kegiatan ‘menjual’ nama pusat tahfiz didakwa memerlukan dana bagi tujuan pembinaan.

Bagaimanapun, seorang suspek yang gemar berkeliaran memakai kopiah dan membawa tabung derma itu didapati menipu apabila nombor telefon pusat pendidikan itu didapati tidak wujud di dalam talian.

Suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) selepas didapati mengutip derma secara haram di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Dalam operasi jam 12 tengah hari kelmarin, suspek didapati menggunakan tabung khas dilekatkan gambar pusat tahfiz dalam pembinaan itu beserta nombor telefon untuk dihubungi.

Pegawai JAWI yang menahan suspek cuba menghubungi nombor telefon terbabit, namun terkejut apabila mendapati nombor itu tiada dalam talian.

Dokumen sokongan digunakan untuk menyakinkan orang ramai didapati palsu.

Sumber berkata, suspek disoal siasat kerana gagal menunjukkan bukti dia diamanahkan sebagai wakil pusat tahfiz itu.

Susulan itu dia dibawa ke pejabat penguat kuasa JAWI untuk tindakan lanjut.

Difahamkan operasi itu mendapati ramai peminta sedekah dan pengutip derma haram menggunakan dokumen palsu tertera nama jabatan agama islam negeri serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meraih simpati orang ramai.

Sementara itu Ketua Penguat Kuasa JAWI Wan Jaapar Wan Ahmad berkata, pihaknya memandang serius kegiatan mengutip derma amal dipercayai didalangi sindiket tertentu.

Pihaknya sentiasa memantau perkara berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas jika ahli sindiket itu ditahan.

“Jika menerima aduan, pihak kami akan melakukan pemeriksaan dan menahan individu mengutip derma tanpa surat kebenaran daripada mana-mana jabatan agama negeri,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2015 @ 9:18am
d