mutakhir

Kicauan burung dilindungi

Oleh Mohamed Sahidi Yusof

Jeli: Bahagian luarannya kafe siber, namun bahagian dalam sebuah premis di Kampung Batu Melintang, di sini, menyimpan puluhan burung daripada spesies dilindungi dipercayai dipelihara dan diniagakan secara haram di Kampung Batu Melintang, di sini.

Kegiatan itu terbongkar apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negera (PERHILITAN) Kelantan membuat serbuan jam 3.30 petang kelmarin dan menahan lelaki berusia 30-an.

Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohammad Khairi Ahmad berkata, pihaknya juga menyerbu sebuah lagi rumah kedai di Kampung Bukit Lakota, di sini, atas kesalahan sama dan menahan lelaki berusia 40-an.

Katanya, hasil serbuan di dua lokasi berkenaan, mereka menemui 63 burung dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 bernilai RM20,000.

“Serbuan ini dilakukan atas risikan dan maklumat orang awam. Kami membuat pemeriksaan ke situ jam 3.30 petang sebelum menemui 39 sangkar yang di dalamnya berisi 63 burung pelbagai spesies dipercayai untuk dipelihara dan dijual.

“Berikutan itu, semua sangkar dan burung berkenaan dirampas manakala dua lelaki berusia 30-an dan 40-an diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 68(1)(a), akta sama kerana memburu dan menyimpan mana-mana hidupan liar dilindungi sepenuhnya tanpa lesen. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

“Kita juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 60(1)(a), akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara dua tahun atau kedua-duanya,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Mohammad Khairi berkata, antara burung dirampas seekor bayan puling, sayap biru (4), ciak ekor jarum (4), dendang gajah (4), daun lebar (5) selain 10 burung bayan serindit dan 30 murai batu.

Beliau berkata, spesies burung berkenaan boleh dijual dengan harga RM150 hingga RM500 seekor di pasaran tempatan.

Katanya, tangkapan itu terbesar tahun ini dan menasihati orang ramai tidak terbabit kegiatan eksploitasi haiwan dilindungi.

Disiarkan pada: August 7, 2015 @ 10:24am
d