mutakhir

20,000 murid dapat manfaat English@Clic

Inisiatif terbaru oleh Sentul Raya Sdn Bhd (SRSB) sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Pendidikan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, usaha itu selaras dengan objektif kementerian dalam memastikan setiap murid dan pelajar berupaya menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik.

Katanya, ia termasuk melaksanakan usaha meningkatkan kemahiran guru bahasa Inggeris serta membuka lebih banyak peluang untuk memberi pendedahan terhadap bahasa itu menerusi komponen kesusasteraan bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah.

“Pendidik seharusnya menetapkan standard dalam penggunaan bahasa Inggeris. Mereka juga perlu menggalakkan, merangsang murid dan pelajar untuk berkomunikasi dengan baik.

“Guru juga perlu sentiasa meningkatkan serta memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris masing-masing. Menerusi usaha itu, guru boleh berperanan dalam membentuk generasi muda dengan lebih baik.

“Selain itu, kementerian menekankan kepentingan mengintegrasikan VLE ke dalam sistem pendidikan,” katanya di pelancaran Program English@Clic, di Mini UTC, Sentul, semalam.

Hadir sama Pengerusi SRSB Datuk Suleiman Abdul Manan.

Tahun lalu, SRSB melakukan pengubahsuaian terhadap perpustakaan di Mini UTC, Sentul untuk menjadikannya pusat pembelajaran kreatif dan IT dikenali sebagai Clic bagi membolehkan komuniti sekitar mempunyai akses dalam talian.

Menerusi Program English@ Clic, Institut Guru Kampus Bahasa Antarabangsa dilantik untuk mengendalikan latihan, seminar dan aktiviti di pusat berkenaan selama empat bulan.

Sementara itu, Suleiman berkata, usaha syarikat itu melaksanakan CSR bersifat pendidikan bermula sejak 2008 menerusi Program Bintang Cemerlang yang dilihat berjaya memberi kesan positif terhadap 80,000 pelajar dan 4,000 guru.

Disiarkan pada: August 7, 2015 @ 10:37am
d