mutakhir

Kes Najib saman Harakah 7 Oktober

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 7 Oktober ini untuk pendengaran kes saman Datuk Seri Najib Razak terhadap akhbar Harakah atas dakwaan mengaitkannya dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib berkata, tarikh itu ditetapkan selepas bertemu Hakim Datuk Hue Siew Kheng di kamarnya di sini, semalam.

Mohd Hafarizam berkata, mahkamah sama juga menolak permohonan mereka untuk membatalkan dua perenggan dalam pernyataan pembelaan Harakah itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan menasihatkan anak guamnya untuk merayu terhadap keputusan itu berikutan portal Harakahdaily bukan penerbitan akhbar yang membolehkan mereka menggunakan pembelaan perlindungan bersyarat.

Najib memfailkan saman fitnah itu pada 18 Mac lalu dengan menamakan Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakop dan Ketua Pengarang Harakahdaily Taufek Yahya sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam penyata tuntutannya, Najib mendakwa, Rosli menulis perkataan fitnah dalam artikel bertajuk ‘Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz’ pada 19 Februari lalu, yang diterbitkan defendan kedua di portal Harakahdaily.

Najib mendakwa, artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang merujuk kepadanya dengan niat jahat bahawa beliau menyalah guna dana milik 1MDB.

Disiarkan pada: August 7, 2015 @ 10:40am
d