mutakhir

Elak kesilapan besar

Kuala Lumpur: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu mengelak kesilapan memudaratkan akibat berpuas hati serta bermegah diri dalam usaha berdepan cabaran getir pada masa depan.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, pihaknya menyedari GLC beroperasi dalam pasaran sekarang yang jauh lebih mencabar berbanding sedekad lalu.

“Biarpun jurang serta cabaran itu tetap ada, kalangan GLC sebaliknya perlu mengelak kesilapan besar yang memudaratkan berikutan sikap mudah berpuas hati serta bermegah diri.

“GLC secara keseluruhannya perlu menangani cabaran ini dengan tabah,” katanya pada Majlis Graduasi GLC, di sini, semalam.

Beliau berkata, ini penting berikutan wujudnya aliran mega yang ternyata memberi kesan kepada ekonomi serta perniagaan seperti ketidaktentuan serta kelemahan global, persekitaran sosioekonomi domestik dan peningkatan berterusan piawaian atau tahap yang ditetapkan.

“Peningkatan persaingan yang sengit, kemungkinan liberalisasi perdagangan yang berlebihan serta kesukaran operasi merentasi sempadan geografi turut memberi cabaran getir kepada GLC,” katanya.

Mengulas program semalam, Azman mengingatkan, berbeza daripada maksud berakhir, terma ‘graduasi’ sebaliknya digunakan bagi memaparkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC terus melaksanakan tiga prinsip asas Program Transformasi.

Ia merujuk tumpuan prestasi, pembinaan negara dan tadbir urus yang jauh melangkaui program berkenaan.

Beliau menyifatkan GLIC dan Kelab G20 (20 GLC utama) sebagai entiti ‘kurang rasmi’ yang memanfaatkan impak jaringan pascagraduasi.
- BERNAMA

Disiarkan pada: August 8, 2015 @ 5:18am
d