mutakhir

'Jangan sekadar juara serantau'

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “GLC (syarikat berkaitan kerajaan) jangan sekadar menjadi juara serantau sebaliknya mesti menerajui industri masing-masing,” tegas Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menegaskan, bukan sekadar menyokong tetapi yang menjadi keutamaan semua GLC ialah terus membantu bersama-sama kerajaan dalam membentuk agenda negara.

Kata beliau, syarikat terbabit mesti kukuh hasil pengurusan terbaik selain menjadi model institusi contoh yang bertanggungjawab untuk terus maju.

“Perjalanan GLC masih jauh dan penuh cabaran. Melangkaui tahun 2020, anda akan beroperasi dalam negara ekonomi berpendapatan tinggi,” kata beliau dalam ucaptama Majlis Pentauliahan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar yang juga Sekretariat Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG).

Najib berkata, 10 tahun lalu banyak syarikat berkenaan tidak menunjukkan prestasi yang baik sebelum program berkenaan bermula.

Malah kata beliau, ada antara GLC hampir muflis sehingga terpaksa diselamatkan kerajaan.

“Kita selamatkan syarikat itu kerana kerajaan percaya ia berpotensi,” kata beliau.

Menurut beliau, permodalan pasaran 20 GLC utama (G20) meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM386 bilion berbanding RM134 bilion bagi tempoh Mei 2004 hingga Julai 2015, mencecah paras tertinggi RM431 bilion pada 7 April lalu.

Kata beliau, jumlah pulangan pemegang saham meningkat 11.1 peratus setahun dalam tempoh sama.

“Keuntungan bersih G20 mencecah RM26.2 bilion pada tahun kewangan 2014 dan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan 10.2 peratus dari 2004 hingga 2014,” kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, program transformasi itu dimulakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sudah menampakkan kejayaan pada tahun 2009.

Kata beliau, pada tahun 2008 beberapa langkah sudah diambil termasuk penstrukturan korporat dan penambahbaikan operasi untuk menghadapi krisis ekonomi.

Disiarkan pada: August 8, 2015 @ 5:19am
d