mutakhir

Hentam pintu kaca

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Tiga penjenayah ‘geng tukul besi’ hanya mengambil masa lima minit merompak RM2,000 dari sebuah stesen minyak di Batu 4, Jalan Ipoh.

Dalam kejadian jam 5 pagi semalam, tiga suspek lelaki itu dikatakan muncul menaiki sebuah kereta sebelum berhenti di pintu hadapan premis itu yang berkunci.

Salah seorang suspek kemudian keluar daripada dalam kereta itu sambil membawa bersama tukul besi.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, suspek kemudian menghentam pintu kaca premis itu sehingga pecah.

Menurutnya, dua suspek kemudian meluru masuk ke dalam premis dan mengarahkan salah seorang pekerja premis warga Bangladesh menyerahkan wang tunai disimpan.

“Bimbang dicederakan, mangsa tidak melawan sebelum menyerahkan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada penjenayah. Suspek kemudian segera melarikan diri,” katanya semalam.

Munusamy memberitahu, suspek adalah lelaki warga tempatan dan mangsa tidak dapat menganggarkan umur dan kenderaan apa digunakan penjenayah.

Katanya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan bagi mengesan suspek.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 10, 2015 @ 5:04am
d