mutakhir

Hidup dalam kekeliruan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Banyak pemeriksaan, ujian, penelitian dan perbincangan perlu dibuat sebelum jantina seorang khunsa boleh disahkan pakar kesihatan.

Pakar sakit tuan, Dr Ismail Thamby berkata, ramai golongan khunsa hari ini hidup dalam kekeliruan kerana gagal mendapatkan pemeriksaan dan khidmat nasihat perubatan.

“Kebiasaannya, jantina seseorang dinilai daripada pandangan fizikal sejak usia janin lagi.

“Begitupun, dalam sesetengah kes, ada yang ragu dengan jantina selepas melihat pembentukan tidak normal pada alat kelamin.

“Justeru, kalau memang wujud kedua-dua alat kelamin, individu berkenaan adalah khunsa dari sudut fizikal. Soal dalaman, itu perlukan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad bertajuk 1 Nyawa, 2 Jiwa mengenai seorang khunsa yang 37 tahun hidup sebagai perempuan sebelum nekad berubah menjadi lelaki.

Jelas Dr Ismail, beberapa ujian boleh dilakukan pakar perubatan untuk mengesahkan gender seorang khunsa.

“Pertama adalah pemeriksaan fizikal. Kemudian, mereka boleh menjalani ujian penentuan genetik untuk melihat sama ada mempunyai baka XX (perempuan) atau XY (lelaki).

“Selain itu, individu khunsa boleh menjalani pemeriksaan struktur otak bagi menentukan sama ada dia mempunyai pembentukan lelaki atau wanita,” katanya.

Mengenai peluang seorang khunsa mendapatkan zuriat, Dr Ismail berkata, golongan itu berkemungkinan tidak dikurniakan cahaya mata berikutan masalah alat kelamin tidak sempurna.

“Apapun, kita nasihatkan individu khunsa supaya mendapatkan pemeriksaan doktor.

“Usah hidup dalam kekeliruan dan dapatkan khidmat nasihat daripada pakar sebelum mengesahkan jantina sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2015 @ 5:36am
d