mutakhir

Geng Estima punah

Nilai: Kumpulan samun dikenali sebagai Geng Estima yang didalangi dua anggota keselamatan tumpas selepas dicekup sepasukan anggota polis di sebuah lokasi di Mantin, di sini, kelmarin.

Kedua-dua anggota berusia 20-an itu, masing-masing memiliki satu dan sembilan rekod jenayah sama, ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pelbagai kes samun menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) di sekitar Lembah Klang dan negeri ini.

Sumber berkata, suspek dipercayai ahli Geng Estima, ditahan selepas kenderaan dinaiki diekori sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada jam 5 pagi.

“Sebelum penahanan itu, kenderaan suspek dilihat berlegar-legar di sekitar Seremban. Sebaik tiba di Mantin, anggota polis menahan kedua-dua lelaki, malah pemeriksaan kenderaan digunakan itu, dikesan terbabit kes samun di Kajang, Selangor serta Mantin, Negeri Sembilan.

“Pemeriksaan mendapati suspek anggota keselamatan bertugas di Cheras, Kuala Lumpur. Sebelum ini, kecoh dan menjadi viral di Facebook mengenai kumpulan samun Geng Estima dan polis tidak menolak kemungkinan ia didalangi dua anggota terbabit bersama yang lain masih bebas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri Datuk Jaafar Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai penahanan terbabit.

Disiarkan pada: August 11, 2015 @ 7:58am
d