mutakhir

RM20,000 lesap

Kuala Lumpur: Seorang warga emas kerugian lebih RM20,000 apabila rumahnya di Flat Sri Sabah, di sini, dipecah masuk ketika dia pulang ke kampung untuk berhari raya, bulan lalu.

Mangsa, Che Ramah Omar, 66, berkata, keseluruhan wang tunai, barang kemas dan perkakas rumahnya dilarikan penjenayah dalam kejadian berkenaan.

“Pada 14 Julai lalu, saya meninggalkan rumah dan mengunci pintu pagar besi sekali, tetapi apabila saya pulang selepas berhari raya pada 22 Julai lalu, saya dapati mangga pintu sudah diganti dengan yang lain.

“Saya kemudian meminta bantuan jiran untuk memecahkan mangga berkenaan dan selepas saya membuka pintu, rumah dalam keadaan bersepah dengan semua barang berharga juga hilang,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, antara barangan berharga yang dipercayai dilarikan penyamun termasuk televisyen, set pinggan mangkuk, set periuk, tabung duit, barang kemas dan wang tunai.

Che Ramah berkata, dia kini terpaksa hidup melarat di ibu kota ekoran tiada pendapatan selain semua wang tunai yang disimpan di dalam rumahnya dicuri penjenayah terbabit.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: August 11, 2015 @ 8:39am
d