mutakhir

Saudagar ciplak!

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas barangan berjenama tiruan bernilai RM83,584 dalam serbuan di lima premis di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara, kelmarin.

Dalam serbuan itu, sebanyak 2,866 unit pelbagai barangan berjenama tiruan terkenal yang dijual di lima premis berkenaan dirampas.

Pengarahnya Muez Abdul Aziz berkata, serbuan yang dilakukan pada jam 11 pagi itu merampas barangan tiruan di lima kedai yang menjual aksesori wanita.

“Antara barangan yang disita adalah minyak wangi, beg, kasut, tali pinggang, selendang dan aksesori wanita,” katanya, semalam.

Menurutnya, operasi yang dijalankan dengan kerjasama pemilik cap dagang yang berdaftar itu akan berlanjutan bagi mengekang kegiatan penjualan barangan tiruan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap unit barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2015 @ 8:51am
d