mutakhir

'RM20j tak cukup'

Melaka: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berharap kerajaan dapat menimbang semula permohonan peruntukan RM40 juta yang dimohon bagi menanggung kos pengurusan dan latihan jabatan itu.

Ketua Pengarahnya, Kamariah Mohd Noah berkata, RELA hanya menerima RM20 juta pada tahun ini berbanding RM60 juta yang diterima pada tahun lalu.

Beliau berkata, peruntukan RM20 juta itu tidak mencukupi untuk membiayai latihan ahli baru serta elaun kepada petugas RELA.

“Kita memohon kerajaan untuk menambah RM40 juta kerana sebelum ini memang kita memperolehnya untuk menjalankan latihan serta memberi elaun kepada anggota bertugas.

“Bagi melatih anggota baru, kita memerlukan peruntukan yang besar, menampung kos pengangkutan dan keperluan mereka ketika latihan, jika berdepan masalah peruntukan, sukar untuk menambah anggota baru khususnya di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Ulung Ketua Pengarah RELA di Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM) Sungai Udang, semalam.

Menurutnya, RELA terpaksa mengurangkan 75 peratus aktivitinya termasuk penugasan anggota di jabatan kerajaan dan swasta dengan hanya 1,265 anggota bertugas di jabatan kerajaan pada tahun ini berbanding 4,500 anggota pada tahun sebelumnya.

“Kita banyak menerima permohonan untuk menggunakan khidmat anggota kita terutama di jabatan kerajaan tetapi tiada peruntukan untuk membayar elaun anggota,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2015 @ 9:09am
d