mutakhir

Warga emas nafi simbah asid

Alor Setar: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan dengan niat sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang remaja lelaki menggunakan bahan cecair disyaki asid, bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Taib, 65, minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Rusita Md Lazim.

Tertuduh yang juga penganggur hadir ke mahkamah jam 10 pagi semalam, sambil ditemani anak perempuannya dan kelihatan tenang ketika mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, Khairul Izzat Mohd Zaki, 22, menggunakan bahan lecur yang boleh mendatangkan kecederaan parah dan kekal.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.15 petang di depan rumah tidak bernombor di Kampung Baru, Kuala Kedah, di sini, pada 25 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ayu Rohaiza Khazali, memohon kepada mahkamah supaya tidak membenarkan ikat jamin kerana kesalahan dilakukan amat serius.

Bagaimanapun, Rusita membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selepas menimbangkan faktor usia dan keadaan kesihatan tertuduh yang uzur.

Mahkamah menetapkan 13 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tertuduh dikatakan menyimbah cecair dipercayai asid menyebabkan Khairul Izzat melecur 30 peratus pada muka, leher, kedua-dua tangan serta perut, manakala rakannya Mohd Sufri Zulkifli, 19, cedera di leher berikutan tertuduh didakwa gagal membayar sewa rumah selama enam bulan.

Disiarkan pada: August 12, 2015 @ 9:00am
d