mutakhir

420,000 guru tertekan

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Kementerian Pendidikan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji beban tugas berlebihan dalam usaha mengurangkan tekanan membabitkan lebih 420,000 guru sekolah di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu dibuat selepas mendapati guru kini berhadapan tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan ketika mengajar.

“Saya menubuhkan satu pasukan membabitkan pegawai kanan kementerian, ahli majlis guru besar, pengetua dan pemimpin persatuan guru untuk mengatasi isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Kebangsaan ke-21 dan Persidangan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia ke-33 2015, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Abdullah Yunus; Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Mohamad Jamil Md Noh dan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi Marzuki Daud.

Mahdzir berkata, kementerian juga bersedia meneruskan ganjaran sedia ada selain menimbang beberapa ganjaran baru kepada warga pendidik bagi menyuntik motivasi mereka untuk terus berbakti.

“Ganjaran boleh datang dalam pelbagai bentuk dan kementerian ada tatacara mengenainya.

“Dalam bahasa mudah, kita jangan lokek sangat pada guru kerana pendidikan adalah kegembiraan, keterbukaan dan kebajikan, sekali gus mendorong melahirkan peradaban bangsa yang negara idamkan,” katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2015 @ 9:03am
d