mutakhir

Pelayan hotel curi baju dipenjara sebulan

Kuala Lumpur: Gara-gara mencuri pakaian kanak-kanak di sebuah pasar raya, seorang pelayan hotel dihukum penjara sebulan dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret, semalam selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Majistret Nur A’minahtul Mardhiah Md Nor menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Risda Baharom, 36, dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap, kelmarin.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri 30 helai pakaian termasuk baju dan seluar yang semuanya bernilai RM1,978.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Jalan Sultan Ismail, Dang Wangi pada jam 9.40 malam, Isnin lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan dia melakukan kesalahan itu untuk membayar yuran van sekolah anaknya.

“Saya curi sebab nak bayar yuran van sekolah anak. Kalau saya masuk penjara akan timbul masalah pada anak yang kini dijaga oleh ibu mentua,” rayu Muhammad Risda.

Pemeriksaan yang dijalankan menjumpai 30 helai pakaian yang masih belum dibayar.

Disiarkan pada: August 12, 2015 @ 9:04am
d