mutakhir

Onar orang lain?

Putrajaya: Mahkamah Rayuan semalam diberitahu ada kemungkinan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya dibunuh orang lain.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili seorang daripada empat tertuduh, R Matan, berkata, munasabah bagi mahkamah membuat kesimpulan kemungkinan itu kerana tiada motif bagi mana-mana tertuduh membunuh keempat-empat individu itu.

Beliau berkata, beberapa profil DNA lelaki tidak diketahui pada kayu pemukul kriket dan dua puntung rokok, kesan darah dan cap jari ditemui di kuarters pekerja di kawasan ladang.

“Tiada satu pun DNA tertuduh ditemui pada mana-mana barang kes itu,” katanya.

Menurutnya, bukti menunjukkan ada individu lain yang mempunyai motif membunuh Sosilawati.

“Orang tidak dikenali yang profil DNAnya ditemui pada kayu pemukul kriket, puntung rokok dan kesan darah serta bukti cap jari individu tidak dikenali yang diambil dari bilik semua barang kes ditemui menjurus kepada kesimpulan pembunuhan dilakukan individu lain,” kata Amer Hamzah.

Beliau berkata, tiada bukti DNA mana-mana tertuduh pada kepingan zink yang dijumpai di Sungai Kelanang, selain tiada bukti menunjukkan kepingan zink itu datang dari ladang berkenaan.

Bekas peguam N Pathmanabhan, 45, dan pekerja ladang T Thilaiyalagan, 23, Matan, 24, dan R Kathavarayan, 35, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan dan menjatuhi hukuman mati ke atas mereka kerana membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan jam 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Amer Hamzah berhujah tiada bukti menunjukkan keempat-empat tertuduh berada di ladang pada hari pembunuhan dikatakan dilakukan.

Beliau berkata, keterangan pembantu ladang itu Siti Hamidah Karnax yang nampak kayu balak dibawa ke ladang pada hari sebelum kejadian dikatakan berlaku dan Thilaiyalagan, Matan, Kathavarayan dan U Suresh dilihat memunggah kayu balak dan meletakkannya berhampiran kandang lembu, meragukan dan tidak membuktikan apa-apa yang mencurigakan memandangkan ada orang lain bekerja di ladang itu.

“Tiada bukti Matan merancang sesuatu dengan mana-mana tertuduh lain sama ada pada 29 Ogos 2010 atau pada 30 Ogos 2010,” katanya dan anak guamnya harus dibebaskan.

Beliau berhujah andaian keempat-empat individu itu dibunuh dan dibakar di ladang itu tidak dapat diterima kerana kesan hidrokarbon tidak ditemui anjing pengesan Jabatan Bomba di tapak disyaki di ladang itu.

“Kebakaran tidak berlaku tanpa kesan pembakaran atau pemesatan,” katanya.

Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon, Thilaiyalagan diwakili peguam Gurbachan Singh dan Hisyam Teh Poh Teik manakala Kathavarayan diwakili peguam M Stanislaus Vethanayagam.
– BERNAMA

Disiarkan pada: August 12, 2015 @ 9:12am
d