mutakhir

Nobat antara 112 Warisan Kebangsaan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Persembahan jikey, nobat, nasi dalam buluh, lumba kerbau, pistol buluh dan sayur midin goreng adalah antara 112 butiran tersenarai sebagai Warisan Kebangsaan 2015 diumumkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan semalam.

Butiran itu membabitkan sembilan tapak warisan, 98 objek warisan iaitu objek ketara dan tidak ketara serta lima orang tokoh orang hidup.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, sejak penubuhan Jabatan Warisan Negara pada 2006, sebanyak 496 butiran diangkat sebagai warisan kebangsaan hingga kini.

“Apa-apa cadangan kita akan nilaikan jika mempunyai nilai warisan dan kita angkat jadi warisan kebangsaan. Tujuannya untuk memastikan butiran yang boleh jadi warisan akan dikekalkan supaya dapat disampaikan kepada generasi akan datang.

“Ia tidak dikira setiap tahun, kita kumpul dalam tiga atau empat tahun sekali baru kita umumkan. Hari ini (semalam) saja 112 butiran diisytiharkan,” katanya selepas majlis pengisytiharan itu di Auditorium Muzium Negara.

Sementara itu, turut diisytihar sebagai warisan ialah ais kepal, kuih siput, kuih ketayap, baju kurung cekak musang, menyumpit, lastik, syiling emas zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (1718-1722), Muzium Negara, Masjid Alaudin, Selangor; Kota Johor Lama, Johor; Tapak Megalitik Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan; Pulau Kalumpang, Perak; Gua Teluk Kelawar dan Gua Harimau di Perak.

Lima Tokoh Orang hidup yang diisytiharkan sebagai warisan kebangsaan ialah pemain muzik sape, Mathew Ngau Jau; Maznah Anak Unyan (anyaman kraf tangan Orang Asli); Romli Mahamud (Awang Batil); Datuk Md Aripin Said (lagu-lagu rakyat) dan Saad Taib untuk penggiat Mek Mulung.

Disiarkan pada: August 12, 2015 @ 9:16am
d