mutakhir

Paha tertusuk besi

Bentong: Seorang lelaki hanya mampu meraung menahan kesakitan selepas paha kanannya tertusuk besi selepas Proton Saga dipandu merempuh belakang sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 45, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.41 pagi, mangsa, Zakaria Kassim, 39, dari Karak dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan dari Bentong sebelum dikejarkan ke Hospital Bentong (HB) untuk rawatan kecemasan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, lapan anggota bersama satu jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, anggotanya mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dengan sebatang besi dipercayai besi belakang kenderaan berat itu tertusuk paha kanan mangsa.

Katanya, pihaknya terpaksa menenangkan mangsa yang tidak dapat menahan kesakitan sebelum anggotanya memotong besi berkenaan.

Disiarkan pada: August 12, 2015 @ 9:19am
d