mutakhir

Tujuh ahli KWSP didenda tipu pengeluaran

Kuala Lumpur: Tujuh individu dijatuhi hukuman denda oleh mahkamah antara April hingga Jun lalu selepas didapati bersalah dalam kes penipuan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Semua mereka disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan denda yang dikenakan antara RM500 hingga RM3,000.

Mereka yang disabitkan kesalahan juga boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali selain perlu membayar balik jumlah simpanan yang dikeluarkan secara penipuan itu.

Enam daripada mereka membuat penipuan membabitkan pengeluaran perumahan manakala seorang lagi membuat pengeluaran hilang upaya.

Dalam tempoh sama, sebanyak 18 kes baru difailkan terhadap ahli yang menipu pengeluaran.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, penipuan pengeluaran adalah satu kesalahan serius dan ahli yang disabitkan bersalah boleh dikenakan denda dan hilang hak melakukan pengeluaran.

“KWSP mengingatkan ahli yang terdesak memerlukan wang agar tidak menggunakan khidmat ejen atau sindiket kerana mereka akan mengenakan bayaran untuk pengeluaran simpanan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Disiarkan pada: August 13, 2015 @ 9:34am
d