mutakhir

81,000 belum serah penyata GST

Melaka: Sebanyak 81,000 daripada kira-kira 240,000 syarikat dan peniaga belum menyerahkan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 03 atau GST-03 bagi tempoh pencukaian tiga bulan bermula 1 April hingga 30 Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, kumpulan berkenaan diberi tempoh sehingga esok untuk mengemukakan penyata terbabit.

“Pegawai kami di setiap pejabat kastam seluruh negara sentiasa bersedia untuk membantu syarikat, peniaga atau mereka yang tidak faham mengenai garis panduan untuk mengisi borang GST-03 dengan lengkap.

“Dalam tempoh berbaki dua hari ini, kami akan memanjangkan waktu bertugas pegawai JKDM bagi memberi masa kepada syarikat dan peniaga berkenaan berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) JKDM, di sini, semalam.

Khazali berkata, setakat ini pihaknya amat berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan syarikat dan peniaga yang bertanggungjawab mengemukakan penyata berkenaan dalam tempoh ditetapkan.

Disiarkan pada: August 13, 2015 @ 9:36am
d