mutakhir

6,000 korban nahas setahun

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Angka mengejutkan apabila 5,000 hingga 6,000 pengguna jalan raya maut akibat kemalangan jalan raya di negara ini setiap tahun.

Jumlah itu meletakkan Malaysia berada di kelompok 10 negara paling tinggi berlaku kemalangan jalan raya setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, faktor utama menyebabkan berlaku kemalangan jalan raya adalah memandu laju.

Menurutnya, statistik Op Selamat 7/2015 baru-baru ini menunjukkan peningkatan 10.7 peratus atau 1,974 kes kemalangan jalan raya di seluruh negara berbanding tahun lalu.

“Sebanyak 20,458 kes kemalangan direkodkan berbanding 18,484 kes pada tempoh sama tahun lalu,” katanya selepas menyampaikan sijil kepada pemandu berhemah pada Majlis Anugerah Pemandu Berhemah sempena Op Selamat 7/2015 di Terminal Bersepadu Selatan di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif Sektor Kerajaan Telekom Malaysia Datuk Kairul Annuar Mohamed Zamzam.

Pada majlis berkenaan, 15 pemandu berhemah dipilih menerima Anugerah Pemandu Berhemah membabitkan pemandu bas, pemandu teksi, pemandu kereta dan penunggang motosikal.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata, pihaknya menyasarkan angka terbabit diturunkan sehingga 20 peratus melalui pelbagai pendekatan yang akan digunakan.

“Sejarah membuktikan ketegasan dalam penguatkuasaan berjaya menurunkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya. Jadi polis melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) akan meningkatkan lagi penguatkuasaan terhadap pesalah jalan raya.

“Kita yakin dalam jangka masa panjang dapat menurunkan kadar kemalangan,” katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2015 @ 9:44am
d