mutakhir

Serbuan di parkir dapat pistol

Alor Setar: Tindakan dua lelaki yang memiliki pistol jenis Norinco dan pistol angin jenis Pietro Beretta Garoone bersama dadah bernilai RM30,700 mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam satu serbuan di tempat letak kereta di Taman Petani Jaya, Sungai Petani, dekat sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 3.15 petang, anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dibantu pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman, menahan suspek berusia 20-an dan 40-an yang menaiki kereta Honda Civic berwarna putih.

Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya berkata, polis menemui pistol jenis Norinco di dalam kereta itu bersama 17 peluru .9mm, 104 gram (g) dadah syabu, 116g heroin, 13 eramin 5 dan tiga pil kuda bernilai RM30,700.

Menurutnya, polis menyerbu rumah salah seorang suspek di Taman Ria Jaya, Sungai Petani dan menemui pistol angin jenis Pietro Beretta Garoone serta 430 peluru bebola besi.

“Suspek berusia 20-an mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan satu kes orang dikehendaki berkaitan penipuan.

“Suspek berusia 40-an pula mempunyai 20 rekod jenayah lampau membabitkan kes kekerasan dan senjata api. Hasil ujian air kencing kedua-duanya positif methamphetamine,” katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2015 @ 10:27am
d