mutakhir

Masih dalam 'bentuk asal'

Kuala Lumpur: Pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 dipercayai masih berada dalam keadaan ‘bentuk asal’ dan terdampar di dasar laut selatan Lautan Hindi.

Pakar komunikasi satelit tempatan Zaaim Redha Abdul Rahman berkata, teorinya menyatakan kemungkinan bahawa pesawat itu ‘terapung untuk seketika’ sebelum tenggelam dalam kejadian malang pada hari pesawat itu jatuh, 8 Mac tahun lalu.

“Saya percaya pesawat itu telah kehabisan minyak, menjunam ke lautan dengan daya tujah perlahan... dengan demikian, saya berfikiran bahawa badan pesawat kekal seperti asal,” katanya.

Zaaim Redha berkata, berdasarkan analisis data satelit Inmarsat antara MH370 dengan stesen di bumi, penyiasat membuat kesimpulan bahawa penerbangan itu telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Sehubungan itu, pada 24 Mac tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara berkenaan, 17 hari selepas penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu hilang daripada imbasan radar.

Beliau berkata, bahawa teori beliau yang menyatakan pesawat itu menjunam ke dalam laut disokong oleh penemuan flaperon sepanjang dua meter baru-baru ini, di Pulau Reunion yang terletak di Lautan Hindi, disahkan sebagai bahagian daripada pesawat MH370 yang hilang.

Disiarkan pada: August 13, 2015 @ 10:36am
d