mutakhir

PDRM tubuh Unit Dron

Subang Jaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan unit khas dikenali sebagai Unit Dron dalam usaha membangunkan dan mengaplikasi teknologi alat kawalan jauh dalam pencegahan jenayah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penugasan dan pemantauan jenayah menggunakan dron dijangka dimulakan di Lembah Klang selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Unit ini dalam peringkat latihan dan diletakkan di bawah kawal selia Unit Udara PDRM.

“Setakat ini kita belum memiliki dron sendiri dan hanya menggunakan alat kawalan jauh bagi latihan untuk memastikan pengendalinya benar-benar mahir dan tidak mengganggu privasi orang awam,” katanya selepas Majlis Perasmian Hari Inovasi PDRM 2015 sempena penutupan Hari Polis ke 208, di sini.

Menurutnya, penggunaan teknologi itu akan diaplikasikan dalam pengurusan perhimpunan dan rondaan cegah jenayah.

“Ia memerlukan sedikit masa kerana kita perlu mendapatkan lesen selain perlu membuat garis panduan Prosedur Standard Operasi (SOP) untuk anggota dan pegawai yang mengendalikannya,” katanya.

Katanya, penggunaan dron akan digunakan sepenuhnya dalam pengurusan perhimpunan yang mana setiap pemantauan atau laporan bergambar dapat dihantar secara terus kepada bilik gerakan.

“Sebarang perkara yang berlaku sepanjang perhimpunan itu kita dapat lihat dan mengambil foto sebagai bukti dan disalurkan terus kepada bilik gerakan,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2015 @ 8:31am
d