mutakhir

Api marak cuaca panas

Kuala Lumpur: “Saya terkejut sejurus melihat empat premis rumah kedai marak dijilat api, malah dua kereta diletakkan berhampiran turut rosak akibat kebakaran yang berlaku,” kata salah seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Chan, 50.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, empat unit rumah kedai dua tingkat musnah dijilat api di Jalan Metro Prima 2, Taman Kepong di sini, membabitkan kerugian lebih RM150,000.

Menurutnya, dia mulanya menyangka rumah jirannya terbakar selepas melihat asap tebal menjulang tinggi.

“Namun sebaik keluar dari restoran milik saya, orang ramai dilihat berlari dan cuba memadamkan kebakaran berkenaan.

“Bagaimanapun cuaca panas menyebabkan api cepat merebak dan memusnahkan semua kedai itu. Malah dua kereta turut mengalami kerosakan akibat kebakaran itu,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.32 tengah hari sebelum tiba sembilan minit kemudian.

Katanya, dalam kejadian itu, dua kereta membabitkan model Proton Saga BLM dan Perodua Kelisa turut mengalami kerosakan akibat terbakar.

“Punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih lagi disiasat bahagian forensik bomba,” katanya semalam.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal 20 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Disiarkan pada: August 14, 2015 @ 8:45am
d