mutakhir

Gatal tangan!

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: Bergurau tidak kena tempat. Itulah ungkapan sesuai diberikan kepada individu yang ‘gatal tangan’ apabila mengubah nama asal pada sijil lahir seorang bayi perempuan baru dilahirkan kepada sebahagian daripada skrip filem ‘Tiga Abdul’ lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Tindakan individu terbabit turut menimbulkan kemarahan ibu dan bapa bayi terbabit apabila nama asal anak mereka iaitu Sabrina diubah kepada ‘Sabrina Kekasih Lama’ mula viral di media sosial dan disebarkan melalui aplikasi WhatsApp sejak petang kelmarin.

Difahamkan, sijil kelahiran yang dikeluarkan pada jam 3.54 petang kelmarin terus menjadi viral dalam kalangan pengguna media sosial dan WhatsApp dalam tempoh beberapa jam sebelum disedari ibu dan bapa bayi berkenaan

Mengulas mengenai perkara itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka Mohd Sharil Neoh Abdullah, mengesahkan nama Sabrina Kekasih Lama seperti tertera pada sijil lahir yang viral itu bukan dikeluarkan pihaknya dan sebaliknya diubahsuai.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah maklum dengan penyebaran sijil lahir bayi perempuan terbabit selepas ia menjadi viral.

“Sebagai jabatan bertanggungjawab, JPN memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan kerahsiaan butiran peribadi bayi itu serta ibu bapanya,” katanya.

Mohd Sharil berkata, pihaknya terkilan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu kerana kesannya turut membabitkan maruah bayi terbabit dan ibu bapanya.

“Mungkin bagi mereka yang melakukan perbuatan itu berasa jenaka tetapi tidak bagi kami yang diamanahkan untuk menyimpan rahsia butiran berkenaan,” katanya.

Ibu kepada bayi terbabit wanita warga tempatan, manakala bapanya warga Singapura dan bayi itu dilahirkan di sebuah hospital swasta di Klebang, di sini, jam 8.14 pagi pada 4 Ogos lalu.

Sementara itu, jurucakap hospital swasta berkenaan ketika ditemui turut mengesahkan menyambut kelahiran bayi perempuan berkenaan di hospital itu.

“Kami terkilan apabila nama bayi berkenaan menjadi bahan jenaka hingga menimbulkan rasa kurang senang keluarganya. Saya juga sudah berhubung dengan ibu bapa bayi berkenaan untuk memaklumkan perkara ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2015 @ 4:54am
d