mutakhir

Rumah selesa harga murah

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: “Saya amat gembira dapat kunci rumah pada hari ini (semalam). Memang bertuah sebab sekarang mana hendak dapat rumah begini selesa pada harga murah,” kata pekerja swasta, Firdaus Ibrahim, 40, seorang daripada 900 pembeli projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Pangsapuri Suasana Lumayan di Cheras, dekat sini, yang menerima kunci rumah semalam.

Menurutnya, meskipun sudah memiliki kediaman lain di Segambut, dia menganggap dirinya bertuah dapat memiliki rumah baru itu yang selesa dengan empat bilik tidur serta dua bilik air, malah harganya hanya RM299,999.

“Bagi golongan berpendapatan sederhana seperti saya yang memiliki empat anak, rumah ini ‘harta’ saya untuk pelaburan masa depan. Ia juga dilengkapi banyak kemudahan selain akses mudah kepada pengangkutan awam,” katanya yang bercadang untuk menyewakan pangsapuri itu.

Majlis simbolik penyerahan kunci rumah itu disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan turut diserikan dengan majlis jamuan Aidilfitri. Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Pengerusi Danau Lumayan Sdn Bhd Datuk Wira Dr Maznah Hamid.

Firdaus berkata, harga rumah berkenaan termasuk kos ubah suai bernilai RM50,000 oleh pemaju.

Projek itu yang menyediakan 900 unit kediaman adalah projek pertama siap dibina di bawah dasar RUMAWIP yang dilaksanakan secara penswastaan antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan syarikat swasta Danau Lumayan Sdn Bhd.

Setiap pangsapuri berkeluasan 1,142, kaki persegi dan dibina sejak Oktober 2012 serta siap sepenuhnya pada Februari lalu.

Terdahulu, Tengku Adnan dalam ucapannya berkata, kerajaan menerusi kementeriannya menyasarkan pembinaan 80,000 unit rumah RUMAWIP bagi tempoh lima tahun atau menjelang 2020 iaitu 50,000 unit di Kuala Lumpur, Putrajaya (20,000 unit) dan Labuan (10,000 unit).

Disiarkan pada: August 15, 2015 @ 5:14am
d