mutakhir

Buah padat, berlemak

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Spesies jagung madu hibrid dari baka ‘Taiwan Super Sweet’ mampu menjana pendapatan lumayan selain menembusi pasaran luar negara, sekali gus membantu negara mengurangkan import bahan makanan.

Seorang pengusaha, Azmi Abu, 42, berkata, jagung manis diusahakannya berbeza kerana mampu menghasilkan buah bersaiz besar, padat, berlemak dengan isi kekuningan selain mempunyai cecair seperti gel pada bahagian tengah.

“Faktor ini menjadikan jagung madu mendapat permintaan tinggi. Dengan baka ini, kita tidak perlu menunggu lama hanya 65 hingga 70 hari dan hasilnya boleh dituai,” katanya.

Menurutnya, jagung dipetik akan diasingkan mengikut gred iaitu A, B dan C kerana harganya berbeza mengikut gred.

“Gred A dijual pada harga 60 sen satu, gred B 40 sen manakala gred C dijual RM32 seguni. Buat masa ini, jagung madu dipasarkan ke sebuah syarikat di Melaka yang juga pemborong tetap,” katanya selepas menerima lawatan Jabatan Pertanian di Kampung Parit Mungkal di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Hashim Rusdi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti Datuk Abd Samad Ibrahim dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri Mustapa Umar.

Katanya, dia menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu dan mempunyai ladang jagung madu seluas 15 hektar di Kampung Parit dan enam hektar di Kampung Parit Mungkal.

Menurutnya, tanaman jagung bukan saja boleh dimakan, malah pokok jagung juga boleh dijadikan makanan ternakan seperti kambing dan lembu.

“Ini amat menguntungkan kerana dari buah hingga pokok boleh dimanfaatkan dan idea ini semua hasil bantuan Jabatan Pertanian.

“Justeru, saya menyeru belia supaya menceburi bidang pertanian kerana jika diusahakan dengan tekun, ia menjanjikan pendapatan lumayan dan mampu mengurangkan penghijrahan belia ke bandar,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2015 @ 5:18am
d