mutakhir

Elak kawasan terbuka

Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada di kawasan lapang dan terbuka pada lewat petang berikutan ribut petir yang dijangka semakin kerap pada Oktober ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) Jabatan Meteorologi Malaysia (Met-Malaysia) Alui Bahari berkata, cuaca itu berpunca daripada awan kumulusnimbus atau dikenali sebagai awan petir yang terbentuk ketika hujan perolakan pada hari panas.

“Walaupun April dan Oktober waktu paling kerap berlaku hujan perolakan, Mei sehingga Ogos juga ada berlaku ribut petir dan ia semakin kerap menjelang Oktober.

“Ribut petir bukan saja boleh menyebabkan kerosakan harta benda, malah mengancam nyawa terutama jika berada di kawasan lapang dan terbuka,” katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai insiden menimpa seorang warga emas yang maut ditimpa pokok tumbang ketika hujan ribut dan angin kencang di Raub, Pahang.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa Zulkifli Md Taha, 66, ketika itu sedang menggali liang lahad anak saudaranya di Tanah Perkuburan Rotan Tunggal.

Seorang lagi mangsa, Shah Menan Itam, 56, yang menolong arwah menggali kubur berkenaan parah di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Raub.

Mengulas lanjut, Alui berkata, ribut petir berlaku apabila cuaca panas pada sebelah pagi menyebabkan proses pengewapan dan udara panas yang naik ke udara semakin menyejuk sehingga terkondensasi untuk membentuk awan petir.

“Awan kumulusnimbus pula akan mengakibatkan hujan ribut yang kebiasaannya disusuli guruh dan petir disebabkan cas elektrik yang terbentuk daripada keadaan tidak stabil,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2015 @ 5:05am
d