mutakhir

Anak terpelanting ditanduk kerbau

Marang: Ibarat nyawa di hujung tanduk. Begitulah keadaan yang menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun diserang seekor kerbau dalam kejadian di Kawasan Perumahan Awam Kos Rendah Sungai Kerak, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Mohamad Mohaimin Roslan berjaya diselamatkan ibunya, Norhayati Ibrahim, 45, selepas berjaya menariknya ketika itu tergantung apabila bajunya dicangkuk tanduk kerbau terbabit.

Bapa mangsa, Roslan Ali, 54, berkata, dia menyangka anaknya meninggal dunia akibat serangan berkenaan berikutan bajunya penuh dengan darah selain tidak bersuara atau menangis ketika itu.

“Saya menjerit dan memanggil isteri bagi mendapatkan anak bongsu kami ketika itu dibasahi darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, Mohamad Mohaimin terselamat dan mengalami cedera ringan di bibir dan tangan selepas diserang seekor kerbau di kawasan garaj rumahnya.

Tiga ekor kerbau menghampiri rumah mangsa sebelum seekor daripadanya bertindak menyerang kanak-kanak itu sedang melihat bapanya membasuh kereta di hadapan rumah.

Menurut Roslan, dia ternampak sekawan kerbau kira-kira 500 meter dari rumahnya, tetapi tidak mengendahkannya, sebaliknya terus membasuh kereta tidak jauh dari anaknya berada.

Katanya, tidak lama kemudian, terdapat tiga ekor kerbau berada berhampiran dengan rumahnya dan seekor daripadanya terjatuh selepas melanggar meter bekalan air sebelum merempuh tembok konkrit rumah jirannya hingga runtuh.

“Tidak semena-mena, kerbau berkenaan menghala ke arah anak saya lalu merempuhnya hingga menyebabkannya terpelanting hampir dua meter.

“Kerbau itu terus mencangkuk tanduknya ke arah anak saya yang sedang terbaring itu, tetapi nasib baik terkena pada baju Melayu yang dipakainya.

“Saya terus menjerit apabila melihat anak saya seperti tidak bergerak dan hanya berdiam diri kerana menyangkakan dia mati,” katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2015 @ 5:06am
d