mutakhir

Cubaan sembunyi dadah dalam bekas kotak minuman gagal

Cubaan tiga individu termasuk seorang wanita menyembunyikan dadah dalam bekas kotak minuman gagal mengaburi polis apabila mereka ditahan di Simpang Selangau di sini, semalam.

Suspek yang berusia 21 hingga 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak ketika Rondaan Cegah Jenayah, kira-kira jam 11 pagi.

Sumber berkata, sebelum ditahan, ketiga-tiga suspek yang menaiki sebuah Perodua Myvi didapati dalam keadaan mencurigakan sebelum diminta memberhentikan kenderaan di depan sebuah kedai makan di tempat kejadian.

Menurutnya, ketika disoal siasat, suspek menafikan terjebak dengan penyalahgunaan dadah, namun seorang daripada mereka akhirnya mengaku sebelum menyerahkan bekas kotak minuman yang dipercayai mengandungi dadah.

“Hasil pemeriksaan, dua bungkusan plastik mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 100 gram ditemui di dalam kotak berkenaan.

“Berdasarkan keterangan awal, suspek mengaku terbabit dalam penggunaan dadah sejak awal tahun ini tetapi memberi alasan mengambil bahan terlarang itu sekadar untuk suka-suka,” katanya.

Katanya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dalam kes jenayah pecah rumah di sekitar bandar ini, baru-baru ini berdasarkan penemuan empat cincin emas bernilai RM16,000.

Berikutan itu, beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Mukah untuk siasatan lanjut dan ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis amphetamine.

Jurucakap polis berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Disiarkan pada: August 16, 2015 @ 5:08am
d