mutakhir

Setulus kasih ibu

Oleh Syahid Sokri

Alor Setar: Kesempitan kewangan tidak menghalang seorang ibu menemani anak perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) yang menghidap penyakit Hidrosefalus (lebihan cecair di dalam otak) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, sejak empat bulan lalu.

Lebih memilukan apabila Noraini Ahmad, 50, rela anaknya ditempatkan di hospital berkenaan kerana tidak sanggup melihat penderitaan ditanggung anaknya, Nurul Izzati Ahmad, 15, jika berada di rumah kerana dia begitu memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ini berikutan keluarga berkenaan tidak mampu menyediakan wang berjumlah RM37,000 untuk mendapatkan mesin berkenaan disebabkan suaminya, Ahmad Ismail, 63, hanya bekerja sebagai penoreh getah.

Noraini dari Kampung Parit Panjang, Baling, berkata, dia sanggup berkorban apa saja asalkan kesihatan anak keempat daripada enam beradik itu kembali seperti asal walaupun terpaksa bersusah payah di hospital.

“Saya menjadi buntu kerana tiada pilihan selain perlu menemaninya di wad setiap hari disebabkan keluarga kami tidak mempunyai wang sebanyak itu bagi membeli mesin yang digunakan untuk menyokong sistem pernafasannya.

“Izzati terpaksa bergantung dengan mesin berkenaan kerana ia mampu menyalurkan oksigen secara lebih baik untuk tubuhnya, tetapi jika tiada mesin berkenaan, anak saya umpama bernafas di dalam air seperti orang kelemasan.

“Saya menitiskan air mata kerana tidak mampu lagi melihat dia tercungap-cungap untuk bernafas kerana lebih membimbangkan mukanya juga akan bertukar menjadi kebiruan jika tidak dapat bernafas dengan sempurna,” katanya ketika ditemui di HSB, semalam.

Menurutnya, dia juga tidak sanggup melihat Izzati menderita sejak pembedahan pertama sehingga terpaksa makan melalui tiub yang diletakkan pada hidungnya dan kini disalurkan terus pada perutnya.

Katanya, pada awalnya dia tidak mengesyaki apa-apa ketika anaknya kerap mengadu sakit kepala kerana menyangka mungkin sakit biasa akibat cuaca panas.

“Saya tidak sangka anak saya menghidap penyakit kronik seperti ini kerana dia hanya mengadu sakit kepala biasa sebelum menjalani pemeriksaan di Hospital Baling pada awal April lalu.

“Selepas seminggu, Izzati mengalami demam panas di sekolah dan dihantar pulang. Saya membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk pemeriksaan di mana doktor memaklumkan dia menghidap penyakit berkenaan menyebabkan dunia saya bertukar menjadi malap,” katanya.

Menurutnya, anaknya kemudian dirujuk ke HSB dan menjalani pembedahan untuk membuang cecair pada otaknya berikutan kepalanya membesar pada bulan sama tetapi Izzati koma untuk tempoh dua bulan, namun kini dia lumpuh dari pinggang ke atas sebaik sedar semula pada Jun lalu.

Katanya, dia bertekad menemani Izzati sehingga sembuh kerana percaya seorang ibu mampu memberi harapan terbaik buat anaknya dan setia di sisinya walaupun terpaksa berpindah hospital.

Katanya, dia amat berharap orang ramai yang bersimpati dapat menghulurkan sumbangan dengan menghubunginya di talian 013-4886708 atau 012-364882 bagi membeli mesin itu.

Disiarkan pada: August 17, 2015 @ 9:50am
d