mutakhir

Tambang bas tidak berubah

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Tiada perubahan harga dilaksanakan buat masa ini dan tambang bas ekspres seluruh negara masih kekal dengan harga lama sebelum Aidilfitri,” kata

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, setakat ini, pihaknya mengesahkan tempoh kenaikan harga tambang sementara (surcaj bawah 10 peratus) ketika perayaan Aidilfitri sudah tamat pada 27 Julai lalu.

“Sekarang kena balik kepada tambang asal sebelum kenaikan sementara yang kita beri adalah surcaj untuk Aidilfitri saja.

“Buat masa ini, tiada pembentangan ke Kabinet untuk kenaikan harga tambang selepas raya dan semua perubahan harga tertakluk kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Bagi Meraikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur anjuran Dapur Penyet Bukit Bintang.

Seramai 60 pemandu teksi sekitar Kuala Lumpur diraikan pada majlis itu.

Turut hadir, Pengurus Besar Ketua Kumpulan Operasi SPAD A Halim Husain, Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad serta Pengarah Urusan Resepi Arena Sdn Bhd Amran Abd Hamid.

Mei lalu, Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) mengusulkan satu memorandum kepada kerajaan bagi mengkaji struktur kenaikan harga tambang mengikut keadaan semasa.

Bagaimanapun, cadangan kenaikan yang dikemukakan masih ditangguhkan kerajaan dan tiada kata putus yang dapat dicapai sehingga kini.

Sementara itu, Syed Hamid berkata, pemandu teksi adalah golongan yang tidak harus dipinggirkan kerana mereka turut membawa imej baik negara kepada pelancong.

Disiarkan pada: August 18, 2015 @ 7:52am
d