mutakhir

Usaha ganggu proses pencalonan

Putrajaya: Pemangku Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam mendakwa ada usaha untuk mengganggu proses pencalonan bagi jawatan Presiden MIC hari ini.

Katanya, beliau dimaklumkan ada pihak yang akan datang beramai-ramai dan membuat kacau bagi mengganggu serta menakutkan anggota parti menyertai proses berkenaan di Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat, Kuala Lumpur.

“Kita tidak ganggu (sesiapa), tetapi apabila kita hendak mengadakan pencalonan (mereka) cuba ganggu, malah dikatakan turut ingin mengambil bahagian dalam pencalonan,” katanya kepada media selepas menyampaikan sijil kewarganegaraan kepada 40 pemohon program MyDaftar di Kementerian Kesihatan di sini, semalam.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Sementara MIC 2009 dalam mesyuarat pada 24 Julai menetapkan 21 Ogos sebagai tarikh penamaan calon bagi jawatan presiden manakala 6 September untuk pemilihan presiden parti.

Krisis parti berusia 68 tahun itu tercetus berikutan perbezaan pendapat antara bekas presiden Datuk Seri G Palanivel dan Dr Subramaniam selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengeluarkan notis pada 5 Disember lalu meminta parti itu mengadakan pemilihan semula.

Walaupun belum dapat dipastikan kesahihannya, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan bagaimanapun berharap ‘berita’ itu tidak menghalang anggota parti untuk hadir menjalankan tanggungjawab.

Beliau turut memberi peringatan kepada pihak yang berhasrat membuat kacau bahawa sebagai anggota MIC mereka tertakluk kepada peraturan dan perundangan parti yang membolehkan tindakan disiplin diambil terhadap mereka. – BERNAMA

Disiarkan pada: August 21, 2015 @ 8:18am
d