mutakhir

Dedah nilai sebenar

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Nilai sebenar proses penstrukturan semula industri air di negeri ini perlu didedahkan dan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Pelabuhan Klang) berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi membolehkan kos sebenar penstrukturan air diketahui umum khususnya rakyat Selangor.

Beliau berkata, kos sebenar penstrukturan termasuk yang sepatutnya berjumlah RM9.65 bilion dan kemungkinan ada maklumat tersorok atau tersembunyi dapat didedahkan.

“Lebih baik pendengaran awam dilakukan (SELCAT) supaya perbincangan lebih telus, terbuka dan difahami rakyat dapat dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan pertanyaan tambahan mengenai kewangan kerajaan negeri yang sebelum itu dikemukakan Mohd. Haslin Hassan (PAS-Tanjung Sepat) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, semalam.

Dalam sidang sama, Abdul Khalid mahu mengetahui sama ada kos pengambilalihan syarikat konsesi air masih mengekalkan nilai RM2 bilion dan RM7.65 bilion membabitkan aset air syarikat.

Abdul Khalid juga bangkit mempertahankan kos asal keseluruhan pengambilalihan termasuk kos pemberian air percuma berjumlah RM150 juta setahun.

Disiarkan pada: August 21, 2015 @ 8:22am
d